Debat Diraja 2008: Analisis Usul Debat Diraja

((Pertandingan Debat Diraja akan diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak pada 28 November hingga 3 Disember))

Senarai cadangan tajuk / usul debat diraja sudah saya lampirkan di sini. Di dalam post ini, saya cuma ingin membuat sedikit analisis dan tips untuk para pendebat.

Walaupun tajuk-tajuk ini belum ditapis sepenuhnya, sudah cukup memberi gambaran kepada para pendebat tentang apa yang perlu dikaji.

ANALISIS UMUM

Secara keseluruhan, kebanyakan usul bersifat isu terbaru dan semasa yang memerlukan pembacaan berita-berita terkini daripada suratkhabar, internet dan berita TV. Walaupun terdapat beberapa usul yang bersifat umum, majoriti bersifat spesifik kepada isu-isu tertentu.

ANALISIS TERPERINCI seperti berikut:

POLITIK

Usul politik banyak berkisar tentang kemenangan Barack Obama, kebaikan dan keburukannya. Kajian untuk usul-usul ini perlu dibuat berdasarkan laporan terkini setiap hari daripada CNN, BBC atau akhbar tempatan kerana setiap hari akan ada perkara baru yang dilaporkan.

Usul berkenaan Kerajaan Barisan Nasional dan Pembangkang Pakatan Rakyat juga banyak. Perlukan pembacaan yang neutral atau daripada dua-dua pihak. Website pembangkang dan blog boleh memberi pandangan alternatif.

Usul spesifik seperti kuasa veto PBB, sidang damai Annapolis, kemerdekaan Kosovo, pengunduran Musharaf memang perlukan anda banyak membaca. Baca background isu terlebih dahulu sebelum buat kajian mendalam.

EKONOMI

Krisis Ekonomi Global mendominasi senarai usul. Perlu ada pemahaman yang betul tentang krisis subprima, punca dan langkah menyelamatkan (bailout) yang dilakukan oleh kebanyakan negara dunia. Untuk istilah-istilah ekonomi yang anda tidak faham, buka Wikipedia.

Isu spesifik seperti Sistem Bretton Woods, World Bank (Bank Dunia), Sistem perbankan islam perlu dirujuk kepada pensyarah, ahli ekonomi, atau pakar. Website tidak banyak membantu.

SOSIAL

Kebanyakan tajuk adalah mudah dan selalu digunakan dalam debat-debat lain seperti Debat Perpaduan, Debat Alam Sekitar, Debat Kemerdekaan dan Debat Kepenggunaan. Tidak ada masalah jika anda masih menyimpan kajian-kajian untuk debat-debat terdahulu.

Yang agak sukar mungkin Tun Mahathir layak dianugerahi Hadiah Nobel. Perlu cari kriteria pemilihan pemenang hadiah nobel terlebih dahulu.

Yang lain mungkin tajuk krisis makanan global yang perlu dikaji tentang punca dan kesan kepada negara-negara dunia ketiga.

Tajuk-tajuk sukan dan pendidikan juga perlu diberi perhatian. Kajian terhadap sukan dan pendidikan di negara-negara lain perlu dilakukan.

Lain-lain tajuk umum dan agak biasa diperdebatkan.

KESIMPULAN

Usul-usul pada tahun ini tidak terlalu sukar dan mencabar. Kebanyakannya sudah difahami dan dikaji sebelum ini. Yang penting lengkapkan diri anda dengan ilmu pengetahuan yang cukup sebelum berdebat. Debat tanpa ilmu pengetahuan hanya ibarat tin kosong, bunyi kuat tapi tiada isi, cakap hebat tapi tiada erti.

Selamat berjaya, pendebat semua!

SYATIR TALIB (UIAM)

Tinggalkan jawapan