Saya ingin memohon maaf buat rakan-rakan pembaca yang sudah lama ternanti-nanti ‘entry’ ini. Oleh kerana terdapat beberapa urusan yang membelenggu dan masa yang tidak mengizinkan, saya terpaksa menangguhkan ‘entry’ ini agak lama. Baiklah, dalam ‘entry’ ini saya akan mengupas secara keseluruhan tentang Debat FOMCA 2007 baik dari segi prestasi perdebatan, mutu penghakiman mahupun kualiti penganjuran. Seperti biasa, ingin saya nyatakan segala komen dan ulasan di sini hanyalah pendapat peribadi dan anda boleh untuk bersetuju atau tidak bersetuju.
1- PRESTASI PERDEBATAN
Secara keseluruhannya, saya lihat perdebatan sekarang agak berbeza berbanding dahulu dari aspek penghujahan dan pembuktian (bukan hanya merujuk kepada Debat FOMCA sahaja). Kalau dahulu para pendebat lebih mementingkan penghujahan (argument) berbanding persembahan (performance). Tapi dunia sekarang sudah berubah, persembahan mendahului penghujahan. Tidak mengapa sekiranya hujahnya tidak logik dan dangkal, yang penting asalkan dapat membuat jenaka, atau mencuit-cuit, sudah cukup untuk mendengar tepuk tangan. Secara peribadi saya tidak sukakan fenomena ini. Memang betul debat juga perlu dinilai dari aspek persembahan, kalau tidak baik buat pertandingan esei sahaja. Tapi apabila masyarakat pendebat dan hakim menagih persembahan sebagai faktor utama, semakin hari semakin banyak ‘argument’ yang tidak rasional lantas menggagalkan usaha untuk melahirkan masyarakat intelek.
Selain itu, terdapat juga masalah pendefinisian. Oleh kerana tajuk-tajuk yang diberikan kebanyakannya mengandungi frasa-frasa khas, maka pendefinisian tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Namun terdapat pendebat yang cuba mencantikkan definisi mereka dengan menggunakan autoriti atau pemahaman yang tidak tepat. Contohnya:
1) “Demi Kesihatan: Industri tembakau harus dikenakan cukai lebih tinggi” – Frasa ‘demi kesihatan’ ditakrifkan sebagai ‘demi mengelakkan wabak dan penyakit berjangkit’. (Setahu saya walaupun rokok itu berbahaya, saya tidak pernah dengar wabak seperti taun atau penyakit berjangkit seperti chicken-pox atau selsema burung yang disebabkan oleh rokok)
2) “Organisasi yang menyediakan keperluan asas: Melaksanakan tanggungjawab sosial” – Frasa ‘keperluan asas’ ditakrifkan sebagai ‘hak asasi manusia menurut Konvensyen Hak Asasi Manusia 1999’ (Pertama, tidak ada Konvensyen Hak Asasi Manusia pada tahun 1999. Sekiranya ingin menyamakan keperluan asas dengan hak asasi, sepatutnya ditakrifkan berdasarkan Deklarasi Sejagat tentang Hak Asasi Manusia 1948. Walau bagaimanapun dalam usul ini, keperluan asas tidak boleh disamakan dengan hak asasi kerana hak asasi adalah hak-hak dan kebebasan manusia dan kita tidak berbincang tentang organisasi yang menyediakan hak-hak dan kebebasan manusia).
3) “Keuntungan Syarikat adalah Tanggungjawab Sosial” – Frasa ‘tanggungjawab sosial’ didefinisikan secara terpisah iaitu tanggungjawab ‘masyarakat dan swasta’. Dalam kata mudahnya pihak pencadang ingin membuktikan keuntungan syarikat adalah tanggungjawab ‘sosial’ dan pembangkang harus buktikan bukan tanggungjawab ‘sosial’ tetapi tanggungjawab ‘siapa’.
4) “Insentif ekonomi baik bagi menggalakkan perlindungan alam sekitar” – Frasa ‘insentif ekonomi’ ditakrifkan sebagai apa-apa sahaja yang diberikan oleh kerajaan dalam bentuk kewangan dikira sebagai insentif ekonomi. Malah gaji guru-guru yang mengajar tentang alam sekitar juga dikira sebagai insentif ekonomi.
Terdapat juga beberapa pendekatan (approach) yang digunakan oleh pendebat yang melanggar batas logik dan rasional. Apabila anda mendengar pendekatan-pendekatan seperti ini secara automatis anda akan berasa hairan, terkejut dan kadang-kadang boleh mengundang gelak tawa. Saya hairan kenapa sesetengah pendebat boleh mengeluarkan sesuatu pendekatan yang jauh daripada logik dan sangat mudah dibidas. Contohnya:
1) “Iklan Rokok Harus Diharamkan di Malaysia” – Pendekatan pencadang adalah iklan rokok harus diharamkan kerana iklan rokok merugikan kerajaan akibat terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi hanya untuk memulihkan perokok-perokok yang semakin meningkat. (Bagaimana kerajaan boleh rugi disebabkan perbelanjaan untuk memulihkan perokok? Adakah kos memulihkan perokok itu seperti kos memulihkan penagih dadah? Adakah kerajaan menghabiskan wang yang banyak untuk menubuhkan pusat-pusat serenti bagi perokok?)
2) “Insentif ekonomi baik bagi menggalakkan perlindungan alam sekitar” – Pendekatan pembangkang bukannya insentif ekonomi kurang baik bagi menggalakkan perlindungan alam sekitar, tetapi ‘insentif ekonomi baik bagi menggagalkan perlindungan alam sekitar’. (Bagaimana pembangkang mahu buktikan kerajaan berikan insentif ekonomi kepada mana-mana syarikat yang berjaya mencemarkan alam sekitar????)
3) “Peningkatan jumlah kereta baharu di jalan raya meningkatkan pemanasan global” – Pendekatan kerajaan adalah cermin kereta dan cat metallic yang terdapat pada kereta baharu boleh memantulkan cahaya dan haba lantas meingkatkan suhu dunia dan menyebabkan pemanasan global serta kecairan ais di Kutub Utara. (????? Tiada komen….!)
2- MUTU PENGHAKIMAN
Saya bukannya ingin mempertikaikan kredibiliti dan integriti para hakim. Saya cuma ingin menunjukkan baik buruk format penghakiman debat ini. Formatnya adalah 3 hakim menghakimi tiga aspek berbeza, Isi, Gaya dan Bahasa. Kebaikannya adalah para pendebat akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasai ketiga-tiga aspek dengan seimbang. Apabila pendebat menekankan aspek gaya seperti kelancaran dan intonasi serta aspek bahasa seperti ayat yang mudah difahami dan penggunaan bahasa kiasan, secara tidak langsung isi dan hujah lebih mudah difahami oleh para hakim.
Walau bagaimanapun penekanan yang lebih kepada aspek gaya dan bahasa berbanding isi seperti yang saya jelaskan di atas akan menyebabkan pasukan-pasukan baru yang mempunyai idea dan isi yang bagus terpaksa tewas kepada pasukan berpengalaman yang lancar dan lantang walaupun hujah-hujah mereka lemah dan tidak rasional. Akhirnya tanpa isi yang baik sekalipun pasukan yang hanya boleh bercakap dengan baik pasti akan menang.
3- KUALITI PENGANJURAN
Tahniah kepada FOMCA selaku penganjur dan UNITEN selaku tuan rumah kerana telah menjayakan Debat Kepenggunaan 2007. Secara ringkasnya, makanan, penginapan, dan tempat pertandingan baik dan memuaskan. Namun terdapat beberapa masalah teknikal yang kecil dari aspek pengoperasian sistem pertandingan Swiss yang digunakan. Antaranya disebabkan oleh penglibatan ahli jawatankuasa teknikal yang bukan daripada MADUM untuk menguruskan pengoperasian sistem powermatch Swiss tersebut. Cadangan saya adalah latihan yang khusus perlu diberikan kepada lebih banyak pihak agar kemahiran pengendalian sistem ini tidak terhad kepada beberapa individu sahaja malah sistem ini boleh digunakan dengan lebih meluas dan tidak tertakluk kepada debat universiti anjuran MADUM sahaja.
Secara tuntasnya, saya gembira kerana penganjuran debat ini telah memberikan peluang kepada banyak institusi pendidikan awam dan swasta untuk menceburi dunia perdebatan. Saya bukan ingin menjatuhkan atau mengaibkan mana-mana pihak sebaliknya sekadar komen membina untuk memperbaiki prestasi semua pihak di masa akan datang.

Julai 12, 2007 at 1:05 pm |
Cat metalik? Memang bernas!
Hang pakai skin apa ni Bang Atir? Lawa jugak.
Satu lagi, camne nak buat “Read the rest of this entry” tu? Tak reti la…
Ogos 5, 2008 at 4:12 pm |
do you know any information about this in english?
November 30, 2008 at 9:21 pm |
Salam…entri yg cukup bernas. Inilah satu pendedahan yg baik. Hakim kdg2 (mjritinya) lbh melihat pd psmbhan. Mereka berckp x henti, rimanya cntik…tp isinya tiada…dan kdg2 dipenuhi dgn fakta sahaja tnp ada analisis.
Dr aspek ini sy melihat ckp utk menguji kredibiliti pendebat. Jika pendebat x blh nk menyampaikn isi yg bernas sbliknya hujahnya hanya penuh dgn fakta maka dia gagal menganalisis usul.
Apapun sy merasakan anda seorg pendebat yg hebat. Kita memikirkn satu prkra yg sama.
Erm, nk tny 1 soalan, mcm mana nk buat “read the rest of the entry” tu? sy x twu. harap sudi lah ajarkn..wslm