Oleh: Mohd Syatir bin Talib (http://www.debatuiam.com)
Debat intervarsiti sudah lama bertapak di bumi Malaysia. Kalau dahulu hanya satu atau dua pertandingan sahaja yang dianjurkan saban tahun. Namun kini bilangannya ibarat cendawan di musim tengkujuh. Setiap satu daripadanya berasaskan format, tema dan konsep yang berbeza.
Selepas tamat Debat Terbuka Astar 2007 (DTA 2007), saya terpanggil untuk menulis sekadar ingin menyuarakan pendapat saya yang daif dan naif tentang beberapa perkara yang mewarnai dunia debat pada zaman generasi MTV ini. Mungkin ada yang akan mempertikaikan siapa saya untuk mengkritik dan memberi komen? Saya hanyalah seorang manusia yang pernah bernama pendebat, yang pernah diamanahkan untuk menghakimi dan yang sentiasa mengimpikan ketinggian kualiti dan keagungan nilai intelek dalam dunia debat universiti. Anda berhak untuk bersetuju atau tidak bersetuju.
PERTAMA: MEMBENTUK GENERASI PENDEBAT BERKUALITI
Sepanjang pengamatan saya dalam DTA 2007, saya rumuskan masalah pendebat-pendebat muda ini kepada tiga perkara: Pembinaan kes, Pemahaman fakta, Bidasan terlalu mudah.
a) Pembinaan Kes
Rata-rata pendebat baru ini masih terlalu bergantung kepada jurulatih atau pendebat senior untuk membina kes. Kebanyakan mereka tidak yakin terhadap idea mereka sendiri untuk mencipta kes yang bagus. Ini menyebabkan mereka tidak mampu berdikari dan terpaksa meminta pandangan jurulatih atau senior setiap kali selepas cabutan usul dilakukan. Semasa kuarantin saya hanya tersenyum apabila melihat bagaimana pendebat-pendebat meminta bantuan dari luar sama ada melalui SMS, panggilan telefon ataupun secara langsung dan bersemuka.
Saya ingin mengambil satu contoh iaitu bagi usul “Artis Bercerai: Media Bersalah”. Kes yang dicipta oleh kerajaan adalah unik dan kreatif apabila melihat pemahaman usul daripada perspektif yang berbeza. Mereka menolak untuk membicarakan artis bercerai dan puncanya adalah media. Sebaliknya mereka membicarakan dalam kes-kes perceraian artis, sama ada sebelum atau selepas, media bersalah kerana melanggar etika media contohnya dengan melaporkan berita yang tidak benar. Kes ini bagus kerana membincangkan perspektif yang berbeza. Namun kerajaan gagal untuk memberikan kayu ukur yang baik bagi ‘melanggar etika media’ iaitu hanya ‘melaporkan perkara yang tidak benar’ dan ‘mensensasikan isu’. ‘Tidak benar’ itu masih kabur kerana siapa yang boleh mengesahkan berita itu benar atau tidak? Begitu juga dengan ‘mensensasikan’, adakah sekiranya perkara itu benar tetapi dalam masa yang sama mendapat perhatian ramai termasuk dalam ‘mensensasikan isu’?
Terdapat juga beberapa pembinaan kes yang membunuh diri dengan meletakkan beban pembuktian yang berat untuk diri sendiri. Contohnya: “Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. Kerajaan memberikan konsep ‘penagih dadah di pusat serenti dimanjakan, remaja di Malaysia diabaikan’. Ini adalah kes bunuh diri kerana bagaimana anda ingin buktikan remaja di Malaysia diabaikan? Sangat sukar. Pembangkang hanya perlu tunjukkan Kementerian Belia dan Sukan adakan program-program untuk belia, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi utamakan pelajar dan mahasiswa. Sudah cukup untuk melawan kes.
Contoh Kes Bunuh Diri 2: “Masalahnya, bukan kerana kita tidak berintegriti”. Kerajaan menambah satu lagi beban untuk diri sendiri iaitu ‘masalah alam sekitar, bukan kerana rakyat tidak berintegriti, tetapi kerajaan yang tidak berintegriti’. Kerajaan terpaksa buktikan dua perkara, rakyat berintegriti dan kerajaan tidak berintegriti. Malah, apabila dicelah adakah rakyat yang membuang sampah ke dalam sungai itu berintegriti? Tidak mampu dijawab. Membunuh diri sendiri.
b) Pemahaman fakta
Saya agak kecewa dengan pengetahuan dan kajian yang dilakukan oleh para pendebat. Saya percaya anda semua bersetuju pendebat yang berkualiti perlu memiliki pengetahuan yang tinggi dan kajian yang mendalam.
Saya terkilan apabila ada pendebat-pendebat yang menggunakan fakta yang salah mungkin kerana fakta itu dicipta semasa kuarantin dan bukannya diperolehi daripada kajian. Hanya kerana ingin menunjukkan kepada hakim bahawa mereka memiliki fakta yang banyak, mereka sanggup mencipta fakta-fakta yang tidak pernah wujud.
Contoh 1: Saddam memimpin puak Syiah untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas puak Sunni. (Fakta ini terbalik kerana Saddam adalah pemimpin Sunni yang mendiskriminasi puak Syiah).
Contoh 2: George Bush Sr. mati di tangan Saddam menyebabkan George W. Bush ingin membalas dendam. (George Bush Sr. sebenarnya masih hidup pada hari ini dan merupakan bekas presiden AS yang hidup paling lama).
Contoh 3: Adam Smith mengeluarkan teori sekiranya teknologi enjin K-69 ciptaan Jepun digunakan, harga minyak mampu diturunkan. (Bagaimana Adam Smith yang menulis buku The Wealth of Nations pada 1776 dan meninggal dunia pada 1790 sempat melihat enjin K-69 ciptaan Jepun?)
Contoh 4: Kuasa veto adalah kuasa yang akan memutuskan sesuatu perkara apabila keputusan majoriti dua pertiga gagal dicapai. (Kuasa veto adalah kuasa pembatal. Fungsinya adalah untuk membatalkan resolusi yang dicapai oleh Majlis Keselamatan. Bukannya untuk meluluskan resolusi).
Contoh 5: Banjir di Johor disebabkan oleh ais di Kutub Selatan mencair. (Tiada komen. Anda boleh fikir sendiri).
c) Bidasan Terlalu Mudah
Pendebat ketiga zaman sekarang masih perlu mengasah kebolehan mereka untuk membidas. Bidasan yang terlalu mudah dan klise menyebabkan hakim berasa jemu dan penonton rasa meluat.
Contoh 1: Hanya meminta autoriti. Apabila membidas fakta-fakta hanya dengan mengatakan “Mereka tidak memberikan sebarang autoriti” ataupun “Apa autoriti anda?”.
Contoh 2: Hanya meminta statistik. Apabila membidas hanya menyebut “Mereka tidak memberikan sebarang statistik” ataupun “Apa statistik anda?”.
Contoh 3: Hanya menyoal. Apabila dibuktikan ada pengayuh sampan yang mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran kepada mangsa banjir untuk memindahkan barang, pendebat ketiga hanya membidas, “Sampan siapa? Siapa yang terlibat?”. Apabila Syiah dan Sunni berebut tempat dalam Majlis Tertinggi, bidasannya hanya, “Siapa Majlis Tertinggi?”.
Contoh 4: Membuat andaian sendiri. Apabila dibuktikan Bush rasa tertekan apabila dikecam penduduk dunia, pendebat ketiga membidas, “Kalau saya dikecam, saya takkan rasa apa-apa.”
Contoh 5: Membidas dengan perkara yang menyalahi logik akal. Contohnya, Tahun Melawat Malaysia 2007 bukan langkah yang tepat kerana terlalu banyak hotel lima bintang dan pelancong yang miskin tak mampu menginap di sana. (Tiada komen. Anda boleh fikir sendiri).
Saya bukannya ingin membuka aib sesiapa, saya cuma mahu pendebat-pendebat muda belajar dari kesilapan, perbaiki kelemahan dan berusaha untuk maju ke hadapan.
KEDUA: MEMBENTUK GENERASI HAKIM BERINTEGRITI
Saya terpaksa mengakui bilangan pasukan yang terlalu banyak dan ketiadaan pegawai-pegawai MADUM menyebabkan penganjur Debat Terbuka ASTAR tiada pilihan lain kecuali mengambil sesiapa sahaja yang mendaftarkan diri sebagai hakim. Hasilnya, saya mendapati wujud masalah-masalah terutamanya di kalangan pendebat-pendebat yang kurang berpengalaman dalam penghakiman. Saya rumuskan masalah-masalah hakim ini kepada empat perkara:
a) Mempunyai mind-set tertentu
Asas kepada etika penghakiman adalah setiap hakim perlu datang dengan minda yang kosong dan segala penghakiman serta penilaian hendaklah dibuat hanya berdasarkan perdebatan tersebut tanpa ada sebarang faktor-faktor luaran yang mempengaruhi. Contoh-contoh kesilapan hakim adalah seperti berikut:
Contoh 1: Apabila pendebat menyatakan sesuatu yang tidak dipersetujui oleh hakim, dan perkara itu tidak dibidas oleh pihak lawan, hakim tersebut tetap menolak hujah tersebut. Contohnya ada hakim yang mengalahkan sesebuah pasukan dengan alasan wujud percanggahan walaupun percanggahan itu tidak pernah disuarakan oleh pihak lawan. Sepatutnya hujah tersebut perlu berdiri sekiranya tidak dipatahkan oleh pihak lawan walaupun hakim tidak bersetuju dengannya.
Contoh 2: Apabila pasukan yang dikenali kerana kekuatannya bertemu dengan pasukan yang kurang terkenal atau apabila pasukan senior bertemu junior, hakim mempunyai mentaliti bahawa pasukan kuat atau senior lebih layak menang. Contohnya ada hakim yang tidak mahu memberikan margin kemenangan yang besar hanya dengan alasan pasukan yang menang itu adalah pasukan junior.
b) Tiada pengetahuan asas tentang julat, margin dan ‘power match’
Setiap hakim perlu memahami dan mengingati julat markah. Malangnya, masih ramai yang tidak mengetahui julat markah yang sebenar sehingga ada hakim yang membuat julat markah sendiri yang tidak menepati julat sebenar. Julat yang sebenar adalah 67 hingga 83 bagi jumlah 100. Manakala 27 hingga 33 bagi pecahan markah 40 dan 13 hingga 17 bagi pecahan markah 20. Saya agak kecewa kerana perkara ini gagal untuk diterangkan semasa taklimat hakim lantas menyebabkan banyak masalah berlaku di kalangan hakim-hakim baru.
Berkenaan margin pula, ada hakim yang memberikan margin yang tidak bertepatan dengan perbezaan antara kerajaan dan pembangkang. Margin tipis adalah untuk perdebatan yang sangat sengit. Margin selesa pula adalah apabila pihak yang menang mempunyai kelebihan yang jelas berbanding pihak yang tewas. Margin besar pula bagi perdebatan yang didominasi oleh hanya sebelah pihak manakala pihak yang lain terlalu banyak kelemahan.
Berkenaan sistem ‘Power Match’, saya bukan menuntut agar semua hakim mahir dan cekap menggunakan sistem tersebut, tetapi cukuplah jika hakim mengetahui pemisahan antara bracket, penentuan perlawanan, dan bagaimana margin boleh mempengaruhi kedudukan pasukan. Jika hakim tidak memahami perkara-perkara ini, mereka akan memberikan margin sesuka hati kerana tidak memahami bagaimana sistem power match berfungsi.
c) Kelemahan dalam pengisian dan penyediaan borang markah
Untuk memastikan hakim tidak melakukan kesalahan semasa mengisi borang markah, taklimat atau bengkel yang komprehensif dan berkesan perlu diadakan. Sekiranya hakim-hakim dikumpulkan di suatu tempat dalam keadaan tiada contoh borang di tangan, dan taklimat dibuat kurang daripada 5 minit, saya yakin itu belum cukup untuk memberikan pemahaman.
Borang markah pula perlulah disediakan dengan berhati-hati agar tiada masalah seperti kesilapan julat markah, ketiadaan ruang untuk mengisi sesetengah perkara, atau kesalahan dalam pembahagian pecahan markah. Borang markah sepatutnya diperiksa dan disahkan sebelum dicetak dengan banyak untuk mengelakkan pembaziran.
d) Kurang pengetahuan am dan pemahaman isu
Untuk menjadi hakim yang baik, hakim tersebut perlu banyak membaca dan mengikuti perkembangan semasa agar tidak memberi komen yang salah terhadap sesuatu isu. Kelemahan hakim yang tidak memahami konsep AFTA, tidak mengikuti perkembangan Nuklear Korea Utara, atau tidak membaca berita tentang krisis banjir Johor akan memberikan kesan negatif ketika menghakimi perdebatan berkenaan isu-isu tersebut. Mereka akan memberikan komen yang salah terhadap sesuatu isu dan menyebabkan pendebat meragui kredibiliti mereka.
CADANGAN-CADANGAN BAGI MEMBENTUK GENERASI PENDEBAT BERKUALITI DAN HAKIM BERINTEGRITI
1) Penganjuran “Konvensyen Debat Bahasa Melayu Malaysia”
Saya mencadangkan agar Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) menganjurkan program yang tidak bersifat pertandingan contohnya “Konvensyen Debat Bahasa Melayu Malaysia” yang tidak pernah diadakan sebelum ini. Sebelum ini hanya program bersifat pertandingan sahaja yang dianjurkan sehingga mengakibatkan pasukan yang kuat terus berkuasa dan pasukan yang lemah terus ditindas kerana tidak pernah diberikan pendedahan yang betul.
Antara program yang boleh dilaksanakan di dalam konvensyen tersebut adalah:
i- Pembentangan Kertas Kerja
Penyediaan kertas kerja boleh dibuka kepada bekas-bekas pendebat atau pegawai-pegawai MADUM. Jawatankuasa Penilaian dan Pemilihan hendaklah ditubuhkan oleh MADUM untuk menilai, memilih dan menyenarai pendek kertas kerja yang dirasakan sesuai dan berkualiti. Bidang-bidang penulisan boleh terdiri daripada sejarah debat di Malaysia, teknik pembinaan kes, struktur pengucapan pendebat, kemahiran asas pengucapan awam, masalah-masalah pendebat sekarang, isu-isu kontemporari yang sesuai diperdebatkan, pembangunan sistem power match, perbandingan antara debat Bahasa Melayu dan debat Bahasa Inggeris dan perkara-perkara lain yang cukup luas untuk dibuat kajian dan penyelidikan.
ii- Analisa Video Perdebatan
Satu video perdebatan ditayangkan kepada semua peserta di dalam sebuah auditorium yang besar dan analisa mendalam dilakukan terhadap kekuatan dan kelemahan yang wujud dalam perdebatan tersebut. Di antara perkara yang boleh dibincangkan adalah cara yang betul atau salah (the Do’s and the Don’ts), teknik penceritaan hujah, teknik bidasan, faktor-x (x-factor), pembinaan konsep perdebatan dan sebagainya. Analisa boleh dibentangkan oleh Hakim-Hakim Kelas Tertinggi MADUM yang telah diberi pengiktirafan sebagai orang yang mahir dan pakar dalam debat.
iii- Forum
Forum tersebut hendaklah membincangkan isu-isu atau masalah-masalah yang membelenggu dunia debat Bahasa Melayu. Ahli-ahli panel boleh terdiri daripada ahli jawatankuasa tertinggi MADUM, pendebat senior yang pernah menerima Anugerah Kecemerlangan Individu, bekas-bekas pendebat yang telah menjadi tokoh terkemuka, presiden-presiden kelab debat universiti atau pendebat-pendebat muda.
iv- Latihan Dalam Kumpulan (LDK)
Fasilitator-fasilitator boleh diambil daripada bekas-bekas pendebat. Antara modul yang boleh digunapakai adalah modul kemahiran pengucapan awam, modul mengasah bakat kepimpinan, modul kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, dan sebagainya. LDK mampu memberikan fokus yang lebih kepada pendebat berbanding program-program di atas.
2) Peningkatan Kualiti Pertandingan
Pertandingan-pertandingan debat anjuran MADUM perlu dipertingkatkan kualitinya. Di antara perkara yang boleh diperbaharui dan dipertingkatkan adalah:
i- Usul / Tajuk Perdebatan
Tajuk perdebatan perlulah bersifat lebih spesifik dan lebih berat sesuai dengan tahap intelektual mahasiswa. Beberapa tajuk yang digunakan dalam Debat Terbuka ASTAR 2007 bagi saya cukup memberangsangkan contohnya “Kematian Saddam Adalah Noktah Keganasan”, “China Magnet Baru Ekonomi Dunia” dan sebagainya. Tajuk-tajuk yang spesifik sebenarnya memaksa pendebat untuk melakukan kajian yang mendalam serta membaca lebih banyak bahan bacaan. Tajuk-tajuk ringan bersifat hiburan, artis dan lain-lain perlulah dikurangkan.
Untuk makluman, semasa DTA 2007 dijalankan, turut diadakan Pertandingan Debat Antara Mahallah di UIAM bagi kategori Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Semasa mereka memperdebatkan usul “This house would work alongside extremists” (Dewan ini perlu bekerjasama dengan pengganas) dan “Ya’taqidu hazal majlis anna OIC an takuuna lahu quwwatun ‘askariyyatun” (Dewan perlu percaya OIC memerlukan kekuatan tentera), kita masih berdebat dengan usul “Artis bercerai: media bersalah” atau “Lelaki berpayung tidak lembut”.
Tajuk-tajuk perdebatan juga hendaklah membincangkan isu. Maksud isu adalah perkara yang dibincangkan secara ilmiah, mempunyai aspek positif dan negatif serta ada halatuju dan matlamat pada akhir perdebatan. Contohnya: “Demi integriti, sistem juri dalam kehakiman perlu diperkenalkan semula”. Tajuk-tajuk seperti “Masyarakat desa lebih berintegriti daripada masyarakat bandar”, “Integriti dalam bidang sukan mempercepatkan proses pembentukan Bangsa Malaysia” atau “Jutawan Malaysia: Bukti Pemanipulasian Sumber” sebenarnya tidak mempunyai isu, matlamat atau halatuju. Tidak ada kepentingan dan faedah untuk kita memperdebatkan tajuk-tajuk sebegini.
ii- Penghakiman
Untuk pengetahuan semua, bagi Debat Dunia Bahasa Inggeris atau mana-mana pertandingan debat Bahasa Inggeris, hakim-hakim hendaklah menjalani ujian terlebih dahulu dan hanya hakim yang lulus sahaja yang dibenarkan menghakimi. Malah, hakim-hakim tersebut dikategorikan mengikut kelas masing-masing contohnya, hakim yang layak menghakimi pusingan kalah mati dan hakim yang tidak layak untuk menghakimi pusingan kalah mati. Mungkin sudah tiba masanya debat Bahasa Melayu mengambil pendekatan yang sama.
Saya juga mencadangkan agar bengkel kehakiman atau taklimat hakim turut dibuka kepada peserta-peserta kerana suatu hari nanti mereka juga akan ditugaskan untuk menghakimi. Sekurang-kurangnya pendedahan awal dapat membantu mereka untuk lebih bersedia apabila ditugaskan untuk menghakimi. Malah tidak ada perkara yang perlu dirahsiakan daripada peserta sekiranya kita ingin memperjuangkan ketelusan dan integriti penghakiman.
Saya juga mencadangkan agar MADUM mewujudkan “Garis Panduan Etika Penghakiman Perdebatan” yang merangkumi ciri-ciri hakim berintegriti, perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh semua hakim, perbezaan di antara penghakiman yang adil dan penghakiman yang berat sebelah, tindakan-tindakan betul atau salah (The Do’s and The Don’ts) dan sebagainya.
iii- Penyelerasan Material Pertandingan
Setakat ini hanya syarat-syarat pertandingan sahaja yang diselaraskan oleh MADUM. Oleh itu, saya turut mencadangkan agar MADUM turut menyelaraskan borang markah, perisian sistem power match, persembahan multimedia bagi taklimat kehakiman. Penyelarasan ini bertujuan untuk mengelakkan percanggahan dan mewujudkan satu standard untuk material bagi semua pertandingan. Perkara ini juga dapat mengelakkan daripada tuan rumah yang berbeza menggunakan material yang berbeza dan bercanggah walaupun untuk pertandingan yang sama.
Akhir kata, saya cuma ingin menyuarakan pendapat dan cadangan agar segala permasalahan yang berlaku dalam dunia perdebatan dapat diselesaikan dengan baik. Segala kelebihan dan kebaikan datang daripada Allah, dan segala keburukan datang daripada diri saya sendiri.
Sekian, saya berjuang demi intelektualisme dunia perdebatan. Terima kasih.
MOHD SYATIR BIN TALIB
UIAM

Februari 21, 2007 at 7:25 pm |
Salam…
Syabas Syatir. Saya setuju…
Februari 22, 2007 at 1:59 am |
trimas… sangat berguna tulisan ini… by the way, terima kasih atas tunjuk ajar. teguran dan nasihat sepanjang ASTAR yang banyak mengajar saya… pengalaman yang sangat berguna sebenarnya…
Februari 27, 2007 at 11:57 pm |
satu cadangan yang baik & perlu diberi perhatian oleh pihak berkenaan.dan terima kasih kerana banyak membantu sepanjang ASTAR 07.teguran akan dijadikan panduan..alangkah eloknyer kalo suara ini dikeluarkan ketika pertandingan.nescaya akan kami baiki on d spot..apa2 pun,terima kasih..
Mac 2, 2007 at 10:29 am |
Aku tertarik dengan fakta-fakta rekaan tu.
Memang bernas pendebat-pendebat muda era kini!
(Kalau ais di kutub cair, hanya Johor saja yang banjir!)
Mac 4, 2007 at 4:28 pm |
tertarik saya dengan artikel ini dan ia patut disegerakan
Penganjuran “Konvensyen Debat Bahasa Melayu Malaysia”
ia amat penting kepada pendebat dan Hakim
R1241- Serdang
Mac 31, 2009 at 8:32 am |
awat la hampa gegeh sangat aku x paham apa2 yg hampa cakap…..dah la tgh frust x leh wat tekz2 bahaz….